Friday, 29 April 2011

Dakwah harus hikmah. Ke boleh main hentam je?

A: ko ni...asyik hisap rokok je...hisap la lolipop ke..sedap sikit..hahaa...
B: ikut suka aku la...kubur lain-lain la..ko perduli apa?
A: alaa..sebab kubur lain2 la aku care kat ko....mana tau, ditakdirkan kita berjiran kubur nanti, karang bahang panas nyer terasa kat kubur aku..haha..lagipun, kalau kubur kite asing2, susah la aku nak backup ko depan Mungkar dan Naqir nanti...tu sbb aku bg nasihat awal2 nih..haha...
B: hahaa...ala ilek la bro..aku nak cuba behenti merokok la ni....ko ingat senang ke nak behenti merokok ni? susah bro! susah lagi dari nak amik SPM. huh...
A: okeh2..pasni kurangkan la sikit merokok tu...ko tak sayang kat aku ke, silap2 ari bulan leh masuk ICU bro..uhuhu...
B: sayang la, sape tak sayang..haha...jiwang tul la ko ni...haha...Last ni, last...sebatang ni je..bagi la can kat aku.Pasni aku try la behenti. 
A: sebab sayang la aku jiwang..hahaaa...pasni, aku ingat nak ajak ko merempit..merempit ke surau.dah nak maghrib ni..
B: erkkk...apa2 je la..



A: ko ni...asyik hisap rokok je...behenti la woi...best sangat ke rokok tu? 
B: ikut suka aku la..kubur lain-lain la...ko perduli apa?
A: alaa...aku tau la kubur lain2...tapi merokok tu bahaya..silap ari bulan ko boleh masuk ICU...suka ke kalau kau mati awal?
B:  jadi kau ingat semua orang merokok mati awal la? silap2 ari bulan ko yang mati awal dari aku!
A: aku cuma nak bagi nasihat dengan kau je la..ko marah ni apsal?
B: sebab kau berlagak alim la aku marah!


Kemudian...terjadinya pertengkaran di antara A dan B.


Cuba kita bezakan dua dialog diatas...
Dalam sedar tak sedar, kadang-kadang kita menguris perasaan sahabat-sahabat kita walaupun niat kita sebenarnya adalah untuk menasihatinya...cara-cara kita adakalanya terlalu radikal dan ekstrem. Hasilnya? Hanya mengundang pergaduhan dan merosakkan ukhuwah. Niat murni tadi tidak membuahkan hasil dan hampir membawa kepada keadaan yang lebih buruk.


Jom kita hayati firman Allah swt dalam kalam-NYA...


"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl : 125)

Dalam kita memberi nasihat dan berdakwah, banyak cara yang boleh dilakukan. Seperti yang ditulis oleh Ustaz Nor Amin, dakwah mengikut Kamus Dewan Edisi ketiga ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan. Manakala menurut Ensiklopedia Islam dakwah membawa maksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Terdapat beberapa perkongsian tentang cara-cara berdakwah seperti dakwah Islamiah yang asli (Syumuliah Fi Da'wah) dan Dakwah yang bersifat Rabbani (Robbaniah Fi Da'wah) yang dikongsikan Ustaz Nor Amin.

Hikmah, Pengajaran dan Perbahasan




Jadi bagaimana kita mempraktikkan nasihat kita dengan cara yg hikmat kebijaksanaan(hikmah), pengajaran yang baik, dan berbahas dengan cara yang baik?? Kadang kala kita bertemu kes di mana ada hamba Allah yang menasihati rakannya ke jalan Allah dengan ajakan yang bersifat 'keras', sindiran dan paksaan. Berapa peratuskah kejayaan yang dicapai hamba Allah tadi dalam mengajak manusia ke arah kebaikan? Pada pendapat saya mungkin 10-20%. Kenapa?? Sememangnya niatnya murni dalam mengajak ke jalan Allah, tetapi caranya bukanlah cara yang dipraktikkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Perlu diingat manusia memiliki ego tersendiri, dan ego ini bukan terbatas kepada orang yang kurang berakhlak sahaja.


Seperti yang ditulis oleh Abd al-Razzaq Muthalib tentang cara mengelakkan manusia menjauhi dakwah yang disampaikan.

Yang pertama ialah elakkan berdepan dengan mereka dengan cara yang tidak disukai; seperti menyebut kesalahan dan menyandarkan kesalahan tersebut kepada mereka atau menyebut nama-nama mereka yang melakukan kesalahan.                       

Yang kedua pula bersabarlah menghadapi kelemahan dan kesalahan yang ada pada diri mereka, dan jangan suka menghukum di dalam semua perkara.                    

Dan yang ketiga jauhkan setiap perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan sangka buruk terhadap dakwah, walau pun perkara tersebut adalah harus untuk dilakukan.              





Pengertian Hikmah seperti yang ditulis oleh Abd al-Razzaq Muthalib,
 "Menurut Dr. Muhammad Abu al-Fath al-Bayanuni di dalam bukunya al-Madkhal ila Ilm al-Da’wah, hikmah itu ialah: “ketepatan di dalam percakapan dan perbuatan“. 

Syaikh Said bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani pula di dalam bukunya “Al-Hikmah fi al-Da’wah ila Allah“, memberikan takrifan berikut: “Betul dan tepat di dalam percakapan dan perbuatan, dan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya“.

Dr. Abd al-Muhaimeen al-Tahhan di dalam “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah” menyatakan bahawa hikmah itu ialah: “perkataan yang tepat dan tindakan yang betul”. 

Inilah takrif yang rajih dan ianya seperti yang dihuraikan oleh al-Imam Ibn Jarir al-Tabari di dalam tafsirnya, beliau menyebut bahawa hikmah itu ialah: tepat dan betul di dalam percakapan dan perbuatan."

Jadi dengan membawa mesej yang benar, tetapi dengan cara yang keras dan berbentuk sindiran, adakah akan dapat diterima oleh pendengarnya? Tidak dinafikan mungkin cara ini akan bersesuaian dengan golongan tertentu, tetapi mungkin ada yang tidak dapat menerima sindiran dan kekerasan yang digunakan. 

Dan hasilnya mesej tersebut tidak sampai sepenuhnya, malah lebih teruk lagi membawa kepada akibat yang lebih buruk.

Suatu ketika dahulu saya ada menerima nasihat dan teguran yang baik dari seorang hamba Allah, tetapi disampaikan dengan cara yang agak keras dan di hadapan orang lain. Waktu itu perasaan malu dan menyesal terasa. Kenapa? Malu kerana terasa dijatuhkan maruah di hadapan orang lain, dan menyesal kerana berjumpa dengan hamba Allah tadi dan menghadiri majlisnya. Diakui saya masih jahil, sebab itu perasaan yang tidak sepatutnya itu menguasai diri. Tetapi jelas penyampaian yang dilakukan oleh hamba Allah tadi tidak sampai ke destinasi yang diingini.

Ditulis juga oleh Abd al-Razzaq Muthalib tentang huraian dari kitab “Madkhal ila Ilm Usul al-Da’wah“, dan sedikit ringkasannya di sini. Etika etika al-hikmah dalam dakwah adalah seperti memberikan khabar gembira (al-tabsyir) dan tidak melakukan sesuatu yang menyebabkan orang semakin menjauhi pendakwah (al-tanfir)

Nasihat Rasulullah SAW kepada dua orang sahabat yang diutuskan untuk berdakwah di Yaman; Abu Musa al-Asy‘ari dan Muaz bin Jabal: "Serulah manusia, hendaklah kamu berdua memberi khabar gembira dan jangan melakukan sesuatu yang menjauhkan manusia dari kamu, permudahkanlah dan janganlah kamu menyulitkan sesuatu perkara" (Al-Bukhari & Muslim). 

Jadikan hadiah pengikat mahabbah. Hadiah merupakan sesuatu yang dapat menjalin ikatan kasih sayang, kemesraan dan menjauhkan perasaan benci dan buruk di dalam sangkaan. Sebab itulah Nabi saw menyarankan: "Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana ianya akan menyebabkan kamu saling berkasih sayang" (al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad).

Ikutikah contoh hikmah yang ditunjukkan seperti yang diceritakan oleh ‘Aisyah, bahawa Rasulullah saw bertanya kepadanya:

"Apakah kamu tidak tahu yang kaummu telah membina semula ka’bah tidak di atas tapak yang dibina oleh Ibrahim? ‘Aisyah menjawab: Ya Rasulullah, apakah kamu tidak mahu kembalikannya semula di atas tapak yang dibina Ibrahim? Baginda saw menjawab: Kalaulah tidak disebabkan kaummu yang masih di atas kekufuran, akan aku lakukannya." (al-Bukhari & Muslim).

Ibn Hajar berkata: “…melalui hadis ini dapat diambil pengajaran bahawa perlunya untuk meninggalkan perkara yang maslahah (mendatangkan kebaikan) dengan tujuan mengelakkan jatuh ke dalam mafsadah (perkara yang buruk), dan juga tinggalkan urusan mencegah kemungkaran, takut akan jatuh ke dalam kemungkiran yang lebih dahsyat”. (Fath al-Bari 1/225)

Sebagai penutup, janganlah kita serkap jarang dalam menyampaikan nasihat dan dakwah kepada orang lain. Penyampai yang bijaksana ialah mereka yang pandai mendekati pendengar dan penyampaiannya adalah fleksible, mengikut keadaan situasi dan kondisi pendengar. Malang andai ada yang menganggap dengan mengamalkan cara yang keras dan bersifat aggresif akan dapat menyampaikan mesej yang disampaikan kepada orang ramai. Seperti yang saya katakan, cara ini tidak saya katakan salah, tapi biarlah kena dengan keadaan dan emosi orang yang cuba disampaikan.

1 comment: