Friday, 3 June 2011

Bunga yang telah layu



Tangisan di hujung gagang telefon itu sangat menyayukan. Seorang isteri yang rasa disia-siakan, dipinggirkan malah ingin ditinggalkan oleh suaminya.

“Apa salah saya? Segala-galanya sudah saya lakukan. Saya telah banyak berkorban untuk rumah tangga ini. Tetapi suami seolah-olah tidak nampak. Kini saya bertahan cuma kerana anak-anak.”

Begitu sayu saya mendengarnya. Hidup adalah kesinambungan ujian yang berterusan. Setiap kita diuji. Jangan menyangka hanya kita yang diuji, tetapi semua manusia ada habuannya masing-masing. Tetapi biasalah, kita hanya nampak pelangi yang ada di atas kepala orang lain. Maksudnya, kita sering merasakan, hidup orang lain lebih indah, lebih bahagia… hanya kita yang menderita. Pada hal, setiap kita diuji, pada titik kelemahan masing-masing. Dan inilah cerita… isteri yang diuji.

Di mana aku di mata suami ku? Apakah aku ini masih dicintainya? Atau aku masih diterima sebagai isteri hanya kerana sudah tidak ada pilihan dan jalan yang lain lagi… Lalu perkahwinan yang tidak bahagia ini, walau sengsara sekalipun mesti diteruskan. Nanti apa kata sanak saudara? Apa pula anggapan teman-teman? Dan yang paling penting, apa pula nasib anak-anak kalau aku bercerai nanti.


Lalu dikayuh jugalah bahtera perkahwinan yang diumpamakan sudah hilang angin itu. Walaupun layarnya sudah terkoyak seribu. Al hasil, rumah tangga terumbang-ambing. Ke hadapan tidak, ke belakang pun tidak. Jemu. Beku!  Ah, apakah benar perkahwinan itu pusara kepada percintaan?

Jika rasa-rasa seperti di atas telah dirasai oleh isteri, maka memang benar pada ketika itu memang benar perkahwinan itu pusara percintaan. Bukan sahaja pusara, bahkan ia sudah menjadi neraka. Pada ketika itulah harga diri isteri berada di tahap yang paling rendah. Dia seolah-olah tidak ada harga diri lagi. Keyakinannya sudah terhakis, harapannya sudah menipis.  Apakah harga diri? Maruah? Status?

Secara mudah harga diri ditafsirkan sebagai, penilaian seseorang terhadap dirinya sendiri tentang kemampuannya untuk berjaya atau bahagia dalam hidup. Pendek kata, jika seseorang ingin bahagia dia mesti mempunyai harga diri yang tinggi. Dia mesti merasa layak, mampu dan berkebolehan untuk berjaya. Dia ‘feel good’ dengan dirinya sendiri. Berbeza dengan mereka yang mempunyai harga diri yang rendah. Mereka akan sentiasa merasa lemah, tidak yakin dan ragu-ragu tentang kemampuan diri sendiri untuk bahagia.

Petanda isteri yang hilang harga diri begitu ketara. Kekadang jadi pemurung. Banyak memencilkan diri. Atau ada pula yang mudah marah-marah. Terlalu sensitif. Hilang semangat untuk membersihkan diri apatah lagi berhias atau mengemas rumah. Tidak ada apa lagi yang hendak ‘diperjuangkannya’ atau yang akan menggembirakan atau yang menyedihkannya. Dia seperti orang mati – hilang semangat untuk hidup.

Inilah akibatnya apabila seseorang lebih pentingkan pandangan suaminya terhadap diri mereka berbanding pandangan diri sendiri. Apa penilaian suami ku? Apakah dia masih cinta atau telah jemu? Hidupnya dihantui prasangka. Dan prasangka itulah yang menghilangkan keceriaan dan semangatnya.

Ironinya, lama-kelamaan perasaan rendah diri yang mulanya pasif itu akan bertukar menjadi agresif. Mengikut ahli psikologi ramai orang yang pada mulanya mempunyai harga diri yang rendah, akan memandang rendah kepada orang lain. Ah, suami ku juga apa kurangnya. Dia pun bukan hebat sangat.   Ya, orang yang tidak punya harga diri tidak akan dapat menghargai orang lain sepertimana orang yang tidak punya wang, mustahil boleh memberikannya kepada orang lain

Hakikatnya penilaian diri terhadap diri sendiri jauh lebih penting daripada penilaian orang lain terhadap diri kita. Maksudnya, biar dipandang rendah di mata suami, tetapi jangan dipandang rendah pada mata sendiri. Malangnya, dalam perkahwinan yang tidak bahagia ramai isteri atau suami yang merasa harga diri mereka direndahkan oleh pasangannya.

Dalam sebuah rumah tangga, harga diri sangat penting sama ada pada suami mahupun isteri. Suami terutamanya tidak boleh memandang rendah pada dirinya sendiri. Rasakanlah yang diri kita boleh dan mampu untuk memimpin, melindungi dan menyara keluarga. Bila harga diri suami tinggi maka barulah barulah dia akan mampu menghargai isterinya. Awas, jika kita kerap memandang rendah, meremeh-temehkan bahkan menghina pasangan kita itu menunjukkan harga diri kita yang  rendah!

Para isteri tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang lain secara tidak sihat. Konon, isteri orang lain lebih bijak, kaya dan lebih bernasib baik daripada kita. Dia terlupa bahawa setiap kita mempunyai kelebihan tersendiri. Kita adalah unik, dan dunia tidak akan lengkap tanpa kehadiran kita. Kita dicipta untuk berjaya dan bahagia.

Maha Suci Allah, yang tidak sekali-kali mencipta hamba-Nya untuk gagal dan menderita. Allah mencipta kita untuk berjaya dan bahagia. Sebab itulah diturunkan untuk kita Rasulullah saw dengan Al Quran dan sunahnya. Dan kepada setiap individu diberikanNya pelbagai keistimewaan yang tersendiri.

Soalnya, apakah kita telah membangunkan segala keistimewaan itu secara optimum? Sejauh mana segala kelebihan yang Allah berikan kepada kita telah kita kenali, terokai dan dipergunakan? Isteri yang diuji mesti mencari semula kekuatannya. Di mana keunikan aku? Aku istimewa, aku unik, bisikkan begitu pada diri.

Siti Saudah isteri Rasulullah s.a.w. mungkin tidak sejelita dan sebijak Humairah (Siti Aishah), tetapi dia tidak rendah diri, dia tidak hilang harga diri… Lalu dia rajin bangun malam (berqiamullail) dan dikorbankan giliran malanya bersama Rasulullah untuk Siti Aisyah demi menggembirakan hati Rasulullah kerana mengharapkan keredaan Allah. Lihat,  dia tidak merintih, mengeluh dan mengeluh nasib diri. Sebaliknya, dia tahu harga dirinya di mana!

Jadilah diri kita sendiri, sayangi diri itu dengan membina satu keyakinan bahawa Allah Maha Adil, dengan mengurniakan bakat dan kemampuan untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berbekalkan segala kelebihan yang kita miliki. Jangan rosakkan seluruh kehidupan hanya merasa tidak dihargai oleh suami. Hidup terlalu singkat dan sangat berharga untuk ‘dikorbankan’ hanya oleh prasangka dan curiga. Malah jika benar sekalipun kita dipinggirkan oleh suami, ingatlah suami bukan segala-galanya.

Bangun, dan binalah harga diri semula. Insya-Allah, apabila kita mula menghargai diri sendiri barulah orang lain akan menghargai diri kita. Kita adalah unik justeru tidak ada siapa yang serupa dengan kita sama ada dari segi luaran mahupun dalaman. Cara yang terbaik untuk membanding ialah bandinglah diri kita sekarang dengan potensi kita yang sebenar.

Ubahlah diri ke arah yang lebih baik, insya-Allah kita akan lihat suami, anak-anak dan seluruh isi rumah kita akan berubah. Dan perubahan itu boleh berlaku dua cara. Pertama, memang suami, anak-anak dan rumah tangga kita berubah menjadi lebih baik seperti yang kita harapkan. Kedua, kita yang berubah lalu mampu melihat, mentafsir dan bertindak terhadap suami, anak-anak dan rumah tangga yang masih sama dan ‘gitu-gitu’ jua tetapi dengan perspektif yang berbeza.

Apa yang dulunya kita lihat sebagai derita sudah bertukar bahagia kerana hidayah yang Allah jatuhkan ke dalam hati kita telah memberi makna yang berbeza. Dunia tidak berubah, tetapi mata hati kita yang berubah lalu yang kita lihat hanya yang indah-ndah sahaja. Alangkah bahagianya punya hati yang begitu… bila pahit dirasakan ubat, bila manis dirasakan halwa, bila masam dianggap ulam. Itulah hati yang mampu dan disediakan untuk setiap isteri dan anda layak untuk memilikinya!

Kita tidak perlu menyaingi suami untuk mendapat keyakinan diri. Dia tetap dia dan kita tetap kita. Jangan menunggu suami menghargai diri kita, barulah anda merasa diri anda berharga… sebaliknya hargailah diri kita terlebih dahulu barulah suami akan menghargai kita. Merendah diri di hadapan suami, bukan bererti mengorbankan harga diri kita sebagai insan yang sempurna ciptaan Allah.

Ingatlah kata-kata ini: Jangan bimbang jika diri tidak dihargai tetapi bimbanglah jika diri memang tidak berharga.  Teruslah menjalankan tanggungjawab dalam keluarga dengan sebaik-baiknya. Jangan sekali-kali ‘sakit jiwa’ kerana tidak dihargai justeru di dalam diri kita sudah ada keyakinan bahawa diri kita memang berharga!

Sumber: Gentarasa

No comments:

Post a Comment